Dapatkah anda bayangkan perasaan tak tenang hati, jantung berdegup lebih kencang tatkala nampak kelibat si dia, muka menjadi merah padam dengan serta-merta, segala yang dilakukan seperti tidak kena dan segala di sekeliling kelihatan seolah-olah sempurna dan seperti di syurga meskipun keadaan sebenar tidak seindah rupa.
Erti kata lain, perasaan yang biasa dialami seseorang yang mula menunjukkan bibit-bibit cinta. OK, perkataan cinta mungkin membawa maksud yang terlalu mendalam dan tidak sesuai untuk digunakan dalam konteks ini. Apatah lagi apabila baru sahaja berkenalan. Jadi inilah yang dinamakan mula merasakan perasaan suka terhadap seseorang ataupun “crushing on someone”.
Tetapi menjadi tanda tanya kepada saya dan juga ramai di luar sana, siapakah yang harus memulakan langkah dalam hubungan? OK, tampak jelas anda sudah sukakan seseorang, tetapi haruskah anda memulakan perbualan atau harus tunggu dia menegur anda? Sejujurnya saya nyatakan saya bingung memikirkan persoalan ini ketika berhadapan dengan si dia yang belum berpeluang dikenali dengan lebih rapat.
Mengikut amalan dan tradisi nenek moyang kita, sememangnya kaum Adam akan memulakan langkah bicara. Kaum hawa akan duduk menanti si jejaka memberi salam pengenalan. Walaubagaimanapun, menjejak ke zaman teknologi dan siber, di mana perempuan mempunyai hak berpendidikan dan hak mengundi, di mana wanita mempunyai hak yang sama seperti lelaki, kita tidaklagi dibelenggu soal siapa yang harus memulakan langkah pertama bukan? Kerana kita sudah mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam bidang lain, persoalan sebegini terlalu remeh untuk difikirkan.
Namun begitu, masih ada manusia yang merasakan kaum Adam seharusnya memulakan tindakan. It’s the gentleman thing to do merupakan salah satu respons yang kerap saya dengar apabila bertanyakan kepada beberapa orang rakan. Ada kaum wanita yang merasakan perkara sebegini harus mengikuti adat, biarkan lelaki yang mencari wanita dan bukan sebaliknya. Ibarat perigi mencari timba perli masyarakat. Kaum wanita yang memulakan langkah dianggap murah, tiada harga diri dan terdesak.
Kaum lelaki pula memikirkan bahawa akan hilang sedikit sifat kelelakian mereka jika wanita memulakan langkah.
Saya dapati golongan yang berpendapat sebegini merupakan golongan majoriti di kalangan rakan-rakan saya. Mengapa kita masih dibelenggu pemikiran kolot sebegini? Kaum wanita menuntut hak persamaan sejak berzaman dahulu dan kini apabila sudah mendapat hak itu, kita seolah-olah menolak hak tersebut dan seakan mahu kembali ke zaman jahiliyah kita. Kita seolah-olah bersetuju dengan sikap chauvinist kaum Adam.
Kita berani dan mampu menuntut pelbagai hak, tetapi sampai di persoalan hubungan, kita rebah begitu sahaja. Apakah salahnya jika wanita yang memulakan langkah sekali-sekala? Jejaka ada juga yang agak rabun dan blur bila timbul persoalan suka dan cinta hinggakan jika wanita tidak memulakan langkah, nothing is going to happen!
Jejaka pula, apalah salahnya membiarkan wanita take the lead? Anda tidak akan hilang sedikit pun kejantanan anda.
Ya, memang, apabila kita memulakan langkah pertama, ada kemungkinan besar (dan kecil), ditolak, malu dan sebagainya. Tetapi itu adalah lumrah hidup. Semua pernah menghadapi detik kegagalan dan kemudian bangkit semula dengan azam dan mempelajari sesuatu yang baru.
Di sini saya ingin mengikuti pendapat minoriti di mana tidak timbul isu siapa yang seharusnya mengambil langkah pertama. Kita hidup di zaman serba canggih, serba boleh, wawasan 2020 laung pemimpin tanahair. Jadi, sesiapa pun boleh mengambil langkah pertama.
Samada anda mahu mencemuh saya, terpulanglah. Hidup hanya sekali, buatlah pilihan sewajarnya